OKTOBER 2024

Sarawak Terus Melangkah Ke Hadapan Dengan Ekonomi Baru Berteraskan Teknologi Dan Sumber Tempatan


KUALA LUMPUR, 19 Okt – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyatakan keyakinan bahawa Sarawak akan terus cemerlang melalui pelaksanaan ekonomi baru yang berteraskan kepada sumber tempatan dan teknologi tinggi. 

Beliau turut menekankan bahawa perubahan besar sedang berlaku di negeri ini dengan penyertaan aktif anak-anak muda Sarawak dalam perbincangan berhubung hala tuju ekonomi masa depan dalam Majlis Lan Berambeh Anak Sarawak. 

“Saya difahamkan bahawa anak-anak Sarawak kini semakin kritis dan lantang dalam mengemukakan soalan-soalan berkaitan dengan pembangunan negeri kita. Mereka berbincang tentang ekonomi baru yang kita terajui,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak bertempat di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC).

Antara topik yang menjadi tumpuan utama adalah tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) yang dianggap sebagai salah satu tiang seri ekonomi Sarawak. Abang Johari menegaskan bahawa sumber tenaga ini bukan sahaja dapat membantu negeri menjana pendapatan, tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian masalah perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

Selain itu, Sarawak juga sedang memacu pembangunan teknologi tinggi, termasuk dalam sektor semikonduktor dan aeroangkasa. “Ini adalah asas ekonomi baru kita, yang mana Sarawak mungkin berupaya untuk menghasilkan satelit dan roket kita sendiri serta mengembangkan lagi keupayaan industri semikonduktor,” jelasnya.

Dalam perbincangan mengenai keterjaminan makanan, beliau menekankan usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak agar negeri ini tidak terlalu bergantung kepada import beras. “Dengan pengeluaran beras tempatan, kita dapat memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat Sarawak,” tambahnya lagi.

Beliau turut berkongsi rancangan kerajaan untuk terus membangunkan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, dan jaringan jalan raya, termasuk di kawasan luar bandar seperti Miri, Marudi, Limbang dan Lawas.

Satu lagi pencapaian penting yang diumumkan oleh Premier Sarawak adalah pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan. “Ini merupakan satu langkah besar buat Sarawak, dan kita amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas kepercayaan yang diberikan,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar proses syarikat penerbangan Sarawak dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun ini, yang mana ia dijangka dapat memudahkan urusan rakyat Sarawak terutamanya anak-anak Sarawak yang belajar di luar Sarawak dan juga memperkukuhkan industri pelancongan negeri dengan membawa lebih ramai pelancong dari luar ke Sarawak.

Abang Johari turut mengingatkan golongan muda Sarawak agar terus menuntut ilmu dalam bidang-bidang yang berkait rapat dengan ekonomi baru negeri ini, sama ada di dalam atau di luar negara. 

“Anak-anak Sarawak perlu bersedia untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja masa depan yang memacu negeri ini ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan semangat perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, yang mana Premier Sarawak menekankan kepentingan untuk mengekalkan keharmonian ini dalam mencapai kejayaan bersama.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi; Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof serta Yang Amat Berbahagia Datin Sri Hajah Ruziah binti Mohd Tahir; Senator Dato Awang Bemme bin Awang Ali Basah serta Yang di-Pertua Dewan Negara Yang Berbahagia Datin Noryati binti Haji Kahar; Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak serta Dato Enn Ong Siok Ean; Dato Sri Ago Ak. Dagang @ Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Malaysia serta Yang Berbahagia Datin Sri Rowenna Ping Bungan; Dato Sri Hajah Nancy binti Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia serta Datuk Kamil bin Misuari; Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak serta Datin Amar Hajah Baduyah binti Haji Bujang.